Skip to content

Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China

“Menuju Era Kemakmuran dan Kemenangan Bersama”|Perkukuh Persahabatan Malaysia-China Yang Lebih Erat Untuk Masa Hadapan!💪🏽

Saya ingin mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua tetamu dari Malaysia dan China kerana sudi hadir dan memeriahkan majlis pada malam ini sempena Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China. Hubungan diplomatik Malaysia dan China telah lama terjalin, iaitu sejak 31 Mei 1974 lagi. Jalinan persahabatan antara Malaysia dan China merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi rakyat kedua-dua negara.

Biarpun berbeza budaya, tetapi kita saling memahami; walaupun berbeza bahasa, tetapi saling berkaitan; dan kita mempunyai matlamat perjuangan yang sama demi kepentingan kedua-dua negara. Persahabatan Malaysia dan China inilah yang menjadi bukti dan gambaran terbaik bagi kemajuan tamadun manusia.

Sepanjang persahabatan ini, kita telah mengharungi waktu suka dan duka bersama-sama. Dalam mengharungi ‘cuaca yang tidak menentu’, baik krisis kesihatan dan ekonomi di peringkat global, kita tetap menyokong antara satu sama lain dan bersama-sama mengatasinya walau sesukar mana pun cabaran mendatang.

‘Bukit sama didaki, lurah sama dituruni’, bukan sekadar ungkapan, sebaliknya ia benar-benar dipraktikkan. Kedua-dua negara boleh dianggap sebagai ‘saudara rapat’ yang telah berusaha keras dan bersama- sama mengecapi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

Pepatah Melayu ada mengatakan, “Seliang bagai tebu, serumpun bagai serai” yang bermaksud, bersatu hati dalam segalanya dan ia dapat diterjemahkan dengan kehadiran para hadirin yang dikasihi sekalian pada majlis makan malam ini untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap persahabatan Malaysia dan China. Ia sekaligus mempamerkan semangat setiakawan yang utuh antara kedua-dua negara.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Luar Negeri China merangkap Kaunselor Negara, Tuan Yang Terutama Wang Yi dan Duta Besar Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing, kerana sejak saya dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China dan Pengerusi Malaysia-China Business Council, Kerajaan China bukan sahaja telah memberi sokongan yang baik, malah pejabat Kedutaan China di Malaysia juga mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan pejabat duta khas dan Malaysia- China Business Council dalam pelbagai urusan. Ini telah mencerminkan komitmen tinggi dan sokongan besar yang diberikan oleh rakyat China dan Kementerian Luar Negeri China kepada pembangunan negara kita.

Seluruh Malaysia amat berharap di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, hubungan Malaysia dan China akan melonjak ke satu tahap yang lebih tinggi, dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara secara berterusan, mempergiatkan rancangan kerjasama pelaburan dan perniagaan Malaysia dan China.

Pada masa yang sama, kerjasama dua hala dan pelaksanaan projek usahasama harus dipercepatkan supaya semua sektor termasuk sektor pelancongan dapat menerimamanfaat daripada kerjasama antara kedua- dua negara, dan memastikan persekitaran pelaburan di Malaysia lebih kondusif dan sokongan yang lebih besar diberikan kepada syarikat dan perniagaan China dalam pelbagai aspek di peringkat Kerajaan dan masyarakat, bagi meningkatkan pemulihan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi.

Kami percaya persahabatan Malaysia dan China pada masa depan ibarat “Air Dicincang Tidak Akan Putus”. Marilah kita berusaha bersama-sama, terus menggerakkan inisiatif kerjasama “One Belt One Road” dan semangat ‘Silk Road’, serta membina platform kerjasama yang terbuka, bagi mewujudkan daya usaha kepada pembangunan kedua-dua negara!

Releated Posts

X